Saturday, April 20

"Mulakan sunnah Nabi SAW di rumahmu" - Tausiyah Mawlid Januari 2013 – 04.01.2013

,

Habib Kadzim bin Jaafar As-Saggof
Majlis Ta'lim Darul Murtadza


Segala puji bagi Allah yang menghimpunkan kita ini untuk mencari rahmat dari Allah Ta’la. Yang akan diberi oleh Allah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan juga bergantung kepada hubungan orang itu yang dengan Nabi SAW. Rahmat itu akan terlihat pada umat ini dengan mereka mudah meniru akhlak Nabi SAW, dan mereka berusaha menghidupkan sunnah Nabi SAW, dan bergerak menyebarkan dakwah Nabi SAW ke seluruh pelusuk dunia.

Tentunya rahmat yang diberikan Allah SWT kepada kita bukan hanya nampak di dunia, tetapi akan nampak lebih jelas nanti di akhirat. Yang demikian itu telah diberitakan oleh Nabi SAW sebagai berita gembira kepada mereka yang hadir dalam majlis seumpama ini, akan diseru oleh malaikat kepada mereka yang hadir, “Bangkitlah dan bersurailah dalam keadaan dosa kamu telah diampunkan dan digantikan sebanyak dosa itu dengan kebaikan dari Allah”.

Akan nampak kejelasan keberkatan majlis seumpama ini di akhirat nanti bilamana kita nampak dosa yang kita lakukan di dunia digantikan dengan kebaikan. Orang yang hadir dalam majlis ini akan mendapat keberkatan secara langsung di dunia iaitu mendapat keterangan cahaya dari Allah dalam hati dan sanubarinya. Bukan sekadar dosa diampunkan dan diganti dengan kebaikan, tetapi seseorang itu akan diangkat darjatnya sentiasa oleh Allah Ta’ala dengan dia melazimkan diri menghadiri majlis sebegini.

Oleh itu, saya menyeru semua yang hadir untuk membuka hati untuk menerima rahmat dari Allah, dan mengambil bahagian daripada rahmat yang diturunkan oleh Allah, dengan kita memperbaharui taubat, dan berazam untuk berkhidmat kepada Nabi SAW dan mengembangkan agama Islam. Ini adalah peluang kita mendapatkan kedudukan tinggi (spiritual) di sisi Allah.

Rahmat tersembunyi yang diberi Allah SWT akan dapat dirasai melalui:
1. Berusaha dan berupaya memperbaharui taubat kita sepanjang masa
2. Berazam menghidupkan sunnah Nabi SAW selagi hidup

Seseorang itu perlu memulakan dengan diri dan keluarga dahulu, sehingga rumahnya tersinar dengan sunnah Nabi khususnya sunnah lazim yang Nabi buat setiap hari, contohnya:
  1. Ketika masuk rumah, Nabi SAW melangkah masuk dengan kaki kanan dahulu, 
  2. mengucapkan salam kepada ahli keluarganya, 
  3. dan membaca surah Al-Ikhlas sebelum masuk.

Bacaan surah dan sunnah ini akan memberi kesan kepada rumah dan ahli keluarganya.Rumah anda juga akan tersinari dengan surah Al-Ikhlas, dan akan nampak kesan bacaan Al- Quran di dalam rumah tersebut. Di dalam hadis Nabi SAW ada menyebut bahawa akan nampak keberkesanan bacaan surah Al-Ikhlas itu dengan diangkat kefakiran daripada ahli rumah dan jiran-jirannya.

Salam pula akan membawa ketenteraman dan ketenangan, kesan daripada keberkatan ucapan itu. Oleh itu, ketika masuk, ucapkan salam kepada sesiapa saja, walaupun jika tiada orang di rumah, tetap berikan salam walaupun pada diri sendiri.

Bilamana anda menyampaikan, salam kepada diri sendiri, sebenarnya anda telah memberi hak kepada diri anda. Bila dilengkapkan dengan makanan dan minuman, maka anda telah meninggikan darjat di sisi Allah. Dan apa saja yang dilakukan di dalam rumah anda akan meninggikan lagi darjat anda di sisi Allah SWT. Nabi Muhammad SAW telah menyebut perkara itu dalam hadis yang sahih. Baginda bersabda, “Sesungguhnya diri anda mempunyai hak ke atas anda, keluarga mempunyai hak ke atas anda, jiran mempunyai hak ke atas anda dan tetatmu mempunyai hak ke atas anda”.

Dengan menunaikan hak-hak diri, anda telah meninggikan darjat anda dan semakin menghampirkan diri di sisi Allah, dan anda juga telah menyelamatkan diri daripada perkara yang melalaikan. Anda akan merahmati diri sendiri dengan ketaatan itu seperti bangun malam dan juga melakukan ibadat lain. 

Anda tahu jika anda tak makan/minum, maka anda akan sakit. Demikian juga jika jiwa anda tak diberi haknya dengan zikir dna ibadah yang lain, maka jiwa anda akan sakit kerana haknya tak dipenuhi. Kedudukan zikir kepada jiwa seumpama oksigen kepada manusia. Tanpa oksigen, berapa lama manusia dapat bertahan?

Begitulah jika jiwa ditegah daripada ‘oksigen spiritual’. Berapa ramai orang yang hidup tetapi jiwanya mati apabila tidak diberikan hak-hak daripada ibadah yang telah ditentukan Allah Ta’ala. Antara perkara yang dapat menghidupkan jiwa ialah Qiyammullail, walaupun hanya seminit atau beberapa saat. Walaupun anda cuma bangun sekejap saja, anda akan dapat menghirup oksigen spiritual yang Allah turunkan khususnya pada sepertiga malam.

Kalau qiyammullail ditinggalkan, anda sebenarnya telah mengharamkan pemberian yang begitu besar daripada Allah kepada diri anda. Nabi SAW menyatakan bahawa kebahagiaan jiwa boleh diperolehi dengan solat malam.

Dalam hadis, Nabi bersabda bahawa orang yang bangun Qiyyamullail akan  bangkit dalam keadaan jiwa yang baik dan tubuh badan yang segar. Perhatikan bagaimana Nabi kaitkan antara kebahagiaan jiwa dengan tubuh badan yang sihat. Sebaliknya pula, orang yang tidak bangun malam, maka dia bangkit dalam keadaan jiwa tak baik dan malas.

Bilamana jiwa seseorang tidak baik dan malas, maka dia akan susah diajak beribadah, tak nampak kebaikan pada diri, dan akhlaknya. Apabila dia memberi bahagian jiwa dengan Qiyyamullail, jiwanya akan baik dan semakin banyak beribadah dan menteladani Nabi SAW.

Tidak dinafikan lagi bahawa Allah SWT menurunkan rahmat itu pada kamu yang meraikan Nabi SAW dalam majlis seperti ini. Majlis-majlis seperti ini dan seumpamanya adalah pembuka kepada curahan rahmat Allah SWT sepertimana turunnya hujan ke muka bumi ini.

Bagi mereka yang hati dan jiwanya tersinari dengan amalan-amalan zikir, mereka akan merasakan acara ini seperti hidangan yang mewah dan yang dicari-cari, iaitu hidangan yang memuaskan hati dan jiwa mereka. Mereka lebih menyukai majlis ini daripada orang yang suka majlis yang melalaikan.

Tengok bagaimana seseorang yang suka bola – walaupun tengok 3 jam, dia tak rasa bosan pun, walaupun perbuatan itu tak memberi makanan pada jiwanya. Bilamana anda mendapat rahsia majlis ini, anda takkan rasa bosan walau kena duduk sehingga fajar. Di Mesir, ada majlis zikir yang dibuat daripada selepas Isyak sehingga waktu Fajar, sepanjang malamnya dipenuhi dengan zikir kepada Allah. Kenapa mereka boleh tahan berzikir sebegitu lama? Sebahagian daripada kita mungkin bertahan selama 6 jam dan akan merasa bosan selepas itu, akan tetapi sebahagian lain yang menemui rahsianya takkan pernah merasa bosan.

Secara amnya, ada manusia yang mempunyai kelebihan iaitu mereka tak merasa bosan kerana telah menemui rahsia ibadat tersebut. Begitu juga dengan amalan solat biasa. Oleh sebab itu, kita tidak perlu hairan apabila mendengar bahawa Syeikh Qadir Al-Jailani itu solat 1000 rakat pada waktu malam. Ini kerana dia suka melakukannya dan telah menemui rahsia solat dan dengan itu tidak merasa bosan dengan ibadah itu. Kita pun tak merasa hairan jika orang seperti Imam Ali Zainal Abidin yang bangun solat 1000 rakaat setiap malam, kerana mereka telah menjumpai rahsianya. Kita hari ini 50 rakaat pun takkan tahan dan akan mula mengelak mencari amalan selain solat selepas itu.

Syeikh Nuruddin, guru kepada Imam Asy-sha’roni menceritakan bahawa beliau berselawat 500 ribu kali pada setiap malam. Kenapa dia boleh melakukannya? Kerana dia sukakan kepada selawat itu. Kita pula hari ini, selepas 500 kali sudah rasa bosan, bahkan tasbihnya pun dilempar jauh-jauh. Kenapa? Kerana dia tak sukakan kepada selawat itu. Jika dia menyukai dan menghayati selawat itu, maka dia akan boleh menyamai seperti Syeikh Nuruddin.

Imam Abu Hanifah membaca dan mengkhatam Quran dalam masa 2 rakaat – tanpa rasa bosan, ataupun mengheluh. Kita pula bagaimana? Berapa juzukkan kita tahan membacanya setiap hari? Kalau anda tergolong dalam kumpulan yang asyik baca Quran sampai terlupa aktiviti lain, maka terimalah berita gembira bahwa anda adalah orang-orang yang tinggi darhatnya.

Seorang ulama besar di Hadramaut, bernama Al-Habib Hasan bin Soleh Al-Bahra, membaca 90 ribu kali surah Al-Ikhlas sehari. 90 ribu, bukan 9 ribu! Berapa kalikah anda membacanya? Surah ini pendek, mudah dan disukai Allah Ta’ala. Keberkatannya akan membawa pelbagai anugerah dan menyamai 1/3 Al-Quran. Surah ini mudah dibaca dengan lidah berbanding surah lain. Setiap surah ada keistimewaan tersendiri, bahkan setiap ayat juga. berapa kali anda dan saya membacanya? Jika dibaca, anda akan menjadi orang yang dikasihi Allah.
Oleh kerana itu, bila bangun malam, jiwa kita sukakan ibadah seperti itu dan hati kita akan tersinari dengan ibadah itu. Bila kita sukakan kepada ketaatan dan suka membaca Al-Quran, maka pada hakikatnya anda cintakan Zat yang menciptakan ibadah itu iaitu Allah. Inilah bentuk-bentuk anugerah batiniah, yang mudah dan ringan untuk mendapatkannya.

Pada permulaan, mulakan dengan 1 minit setiap malam - gunakan ‘alarm’ untuk mengejutkan anda bangun dan sekadar berzikir:


Ini akan menjadi pembuka kepada jiwa anda untuk mendapat cahaya. Maka anda akan menjadi sihat, gembira dan tenang. Walaupun anda dalam kesusahan, anda akan lupakan masalah itu apabila anda bangun malam, biarpun pun masalah itu banyak sekalipun. Apabila bangun malam, roh anda akan terbuka untuk menerima pemberian dan akan mendapat makan untuk roh. Apabila roh semakin kuat, maka keesokannya anda akan merasa sihat, tenang dan seolah-olah tiada masalah. Tetapi jika anda tidak bangun untuk Subuh, walaupun satu minit, takkan ada ketenanan pada roh dan jiwa anda. Ini kerana ketenangan itu datang daripada dekatnya roh itu dengan Allah.

Maka, marilah kita mengambil keberkatan yang zahir daripada majlis ini. Adapun, keberkatan yang tersembunyi adalah terlalu besar di sisi-Nya. Apa saja nama majlis yang diadakan kerana gembira dengan Nabi SAW, gembira dengan kelahirannya, untuk memperingatinya, dan mengingatkan umat kepada baginda Nabi SAW, mempunyai kedudukan yang sangat tinggi di sisi Allah SWT. Ketika seseorang itu melazimkan diri menghadirkan diri ke majlis sebegini, walau apa pun nama majlis yang diberi, mereka akan diberi husnul khotimah iaitu dapat mengucapkan ‘La ila ha illallah” ketika pengakhiran umurnya. Itulah punca pemintaan orang-orang yang soleh. Tetapi Allah memberi lebih daripada itu iaitu Allah menggantikan dosa dengan kebaikan. 

Majlis ini amat disukai Allah, dan tiada yang menjauhi majlis ini kecuali orang yang hatinya gelap. Apabila diperdengarkan selawat kepadanya, ianya tidak dapat menyinari hatinya. Mana-mana orang Islam yang diberi cahaya di dalam hatinya dan berselawat 1000 kali pagi dan malam, hatinya pasti akan mendapat keberkatan dan rahsia qabul daripada Allah SWT.

Jika anda kenal rakan yang tidak hadir atau berani mengatakan majlis ini ialah biadaah, beritahu padanya - "saya punya ubat mujarab iaitu selawat pada Nabi 1000 kali pagi dan malam selama 40 hari". Setelah itu, akan nampak sinaran selawat pada hati mereka. Maka orang yang tak suka pun akan datang walaupun dengan merangkak. Pada mereka yang tetap tak mahu berselawat dan mengatakannya bidaah, maka kegelapan hati akan menghalang merasai keberkatan majlis ini. Maka tidak akan terangkan kegelapan itu kecuali dengan cahaya, dan cahaya itu ada di dalam selawat kepada Nabi SAW. 

Kita berdoa agar kita dimasukkan kedalam golonngan yang diqabulkan Allah Ta’ala, sepertimana Allah menghimpunkan kita bersama dalam majlis ini kerana gembira dengan Nabi SAW, moga-moga Allah berikan kegembiraan kepada kita dengan anugerah yang besar dan sebagaimana kita semua datang kerana gembira dengan Nabi SAW, kita berdoa agar kita bersurai dalam keadaan dikekalkan kegembiraan itu oleh Allah SWT. 

Sebagai rumusan: jangan lupa sunnah Nabi SAW ketika masuk rumah – masuk dengan kaki kanan, beri salam dan baca Quran sebelum masuk rumah. Minggu lalu telah saya sebutkan bahawa setiap daripada kita berkongsi agar bala diangkat oleh Allah daripada seluruh ummah. Oleh itu, amalkan doa dan istighfar untuk seluruh mukminin dan mukminat. 


Siapa yang ingat, saya akan beri hadiah besar, tetapi hadiah daripada Allah lebih besar iaitu 1.5 bilion ganjaran hasanah (sebanyak jumlah umat Islam yang ada). Anda juga akan dapat merasai hubungan anda dengan kaum muslimin yang lain. Anda gembira dengan kegembiraan mereka, dan sedih dengan kesedihan mereka. Anda akan mendoakan kebaikan untuk mereka dan terselamat daripada sifat keegoan yang merupakan ajaran syaitan. Di dalam solat, kita memohon – ‘Berilah kami jalan yang lurus”, bukannya “Berilah aku..”. Semoga Allah memenuhi hati kita dengan keimanan dan ketaatan, dan digolongkan kita ke dalam golongan orang-orang yang soleh, yang aman, yang tenang, yang mendapat berita gembira.

0 komen to “"Mulakan sunnah Nabi SAW di rumahmu" - Tausiyah Mawlid Januari 2013 – 04.01.2013”

Post a Comment

Sponsor

Link Checker

DMCA.com
 

Port Kongsi Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger Templates